Nota: Susulan kisah anak derhaka..
Anak, ingatlah emak - Tumi
KUCHING 23 Jan. - "Makcik tak pernah berkecil hati pasal anak perempuan makcik walaupun dia tidak mengaku saya emaknya. Dalam hati saya, baik atau buruk, dia tetap anak saya."
Itu kata Tumi Wongsoruju, 52, ibu yang tidak diakui oleh anak perempuan dan menantunya baru-baru ini.
Meskipun diperlakukan sebegitu, Tumi tidak pernah menutup pintu hati untuk menanti kepulangan anak perempuan tunggalnya yang berusia 33 tahun itu bersama menantu serta cucunya yang masih dalam kandungan ke Kuching.
Katanya, dia akan sabar menunggu kepulangan mereka pada bila-bila masa dan sentiasa berdoa agar anaknya itu berada dalam keadaan selamat dan sihat.
Namun, Tumi memberitahu, apa yang menyedihkan ialah berapa lama lagi dia boleh melihat dunia ini memandangkan usianya yang semakin lanjut.
"Makcik berharap usia ini masih panjang serta sihat tubuh badan, maka dapatlah menunggu dia dan berharap terbuka hatinya untuk mengingati emaknya yang terlalu rindu kepadanya selama ini.
"Anak, ingatlah emak ini... Emak ini sudah tua, entah esok atau lusa siapa akan tahu berapa lama lagi usia emak ini, pulanglah anak," rayu Tumi dengan nada sebak ketika ditemui Mingguan Malaysia di rumahnya dekat sini hari ini.
Kisah malang Tumi disiarkan dalam Utusan Malaysia kelmarin yang sanggup berhutang untuk datang dari Kuching ke Semenanjung semata-mata untuk bertemu anak perempuannya yang terpisah sejak tiga tahun lalu.
Walaupun berjaya menjejaki alamat rumah anaknya dengan bantuan anggota polis, Tumi terpaksa pulang semula ke Kuching kelmarin dengan hampa, setelah anak perempuannya yang berusia 33 tahun dan menantunya tidak mengaku dia sebagai ibu.
Tumi memberitahu, dia sudah tidak berdaya dan tidak tahu apa lagi cara untuk memujuk anaknya supaya kembali ke pangkuannya.
Pada masa yang sama, katanya, dia merayu suami anaknya supaya membenarkan anak perempuannya kembali ke Sarawak segera dan seterusnya melahirkan anak di sini.
"Makcik mahu hidup bersama dengan anak dan cucu di rumah ini sehingga menghembuskan nafas terakhir meskipun dalam keadaan susah atau senang," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan