Khamis, Januari 07, 2010

Harian Metro - Berita Sedih..

TAMPIN: Isteri kepada mangsa pembunuhan kejam di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, dekat sini, kelmarin, hanya mendapat tahu suaminya dibunuh kira-kira jam 4.50 petang ketika dia bekerja di sebuah kilang di Gemencheh.

SEDIH... Zaharah (kiri) bersama penduduk kampung menunggu jenazah suaminya, tiba dari Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.
SEDIH... Zaharah (kiri) bersama penduduk kampung menunggu jenazah suaminya, tiba dari Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.

Zaharah Atan, 59, isteri kepada Ismail Awang, 76, berkata penduduk kampung itu yang menjemputnya di tempat kerjanya sebelum memaklumkan mengenai kejadian berkenaan.


Dia yang terkejut dan sedih dengan kejadian menimpa ahli keluarganya itu mengakui anaknya Rashidi, 34, yang dipercayai boleh membantu siasatan dalam kes itu tidak pernah buat masalah kepada keluarga, malah sebelum ini juga mereka sekeluarga tiada perselisihan faham antara satu sama lain.


“Walaupun Rashidi jarang balik kampung dan kali terakhir pada hari raya puasa lalu, namun dia tidak pernah menimbulkan masalah kepada keluarga, dia anak yang baik.


“Dia sebelum ini pernah bekerja sebagai pegawai bank, tetapi berhenti dan kini bekerja di sebuah kedai makan di Kuala Lumpur. Jadi kami tidak pernah mengesyaki sesuatu terhadapnya, malahan antara kami anak-beranak terutama dengan Rashidi juga tidak pernah berlaku perselisihan faham.


“Saya sama sekali tidak menyangka kejadian ini boleh berlaku dan apa yang menyedihkan saya ialah cara pembunuhannya,” katanya yang masih tidak dapat menahan sebak ketika ditemui, semalam.


Dalam kejadian kelmarin, empat beranak iaitu Atan Daud, 90, yang juga bekas imam, isterinya, Sufiah Keatas, 80, menantu, Ismail Awang, 76, dan cucunya, Siti Khadijah, 22, mati dalam keadaan mengerikan apabila dibunuh kejam. Lebih menyayat hati mayat Ismail ditemui dengan kepala bercerai akibat dipenggal manakala mayat Atan dan Sufiah pula putus tangan.


Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10 pagi tetapi hanya disedari pada kira-kira jam 3 petang oleh Siti Mariam Ismail, 19, yang balik dari sekolah.


Mengenai tanda pelik suaminya, Ismail sebelum dia dibunuh, Zaharah berkata, tiada perubahan sikap ketara yang berlaku pada suaminya itu kecuali dia kerap berleter sejak akhir-akhir ini berbanding sebelum ini.


Menurutnya, Allahyarham juga pernah bercadang untuk balik ke kampungnya di Pasir Puteh Kelantan tetapi membatalkannya kerana keadaan cuaca tidak mengizinkan dan masalah banjir yang kerap melanda di kampung halamannya itu.


Tiada ulasan: